Isnin, 7 Oktober 2013

Piala Malaysia: Venue perlawanan ATM vs TRW diubah


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 18 Oktober membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan  akan berlangsung di Stadium Shah Alam dan bukan di Stadium Selayang seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Affandi Hamzah berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan aspek keselamatan peminat kedua-dua pasukan terkawal dan terjamin.



"Kita difahamkan Stadium Selayang hanya mempunyai kapasiti 16,000 penonton dan memandangkan ATM dan Kelantan memiliki jumlah penyokong ramai kita risau perkara tidak diingini akan berlaku kerana terpaksa berhimpit di dalam stadium. Jadi, kita membuat keputusan untuk mengubah venue asal.

"Hasil perbincangan dibuat akhirnya kita merasakan Stadium Shah Alam paling sesuai kerana ia mampu menampung 80,000 orang kerana kita juga menjangkakan perlawanan itu nanti dilimpahi peminat kedua-dua pasukan.

"Oleh itu, saya harap perubahan stadium ini akan memberi keselesaan kepada peminat untuk menyaksikan perlawanan itu nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Semalam, ATM turut bersetuju seandainya aksi separuh akhir tidak diadakan di Stadium Selayang memandangkan sambutan dari penyokong kedua-dua pasukan pastinya meriah.

Malah ATM juga dikatakan telah memikirkan situasi ini selepas berjaya menewaskan Lions XII dalam aksi kedua suku akhir pertama 4 Oktober lalu.

Beliau yang juga Naib Presiden FAM berkata, kedua-dua pasukan telah menyatakan persetujuan untuk beraksi di stadium yang boleh memuatkan hampir 80,000 penonton.

“Tarikh dan masa perlawanan 8.45 malam tidak berubah,” katanya.

Untuk rekod, ATM melangkah ke separuh akhir selepas menyingkirkan LionsXII dengan agregat 4-2 manakala Kelantan yang juga juara bertahan bangkit selepas tewas 2-4 pada suku akhir pertama untuk membelasah Johor DT di Kota Bharu dengan keputusan 6-1 dan mara dengan agregat 8-5. -SinarHarian-

Tiada ulasan: