Khamis, 10 Oktober 2013

Polis tembak mati tiga perompak kedai emas

IPOH - Polis menembak mati tiga lelaki di persimpangan lampu isyarat Meru Raya, Jelapang di sini hari ini, kira-kira 45 minit selepas mereka merompak sebuah kedai emas di kawasan berhampiran.
 
Kejadian berbalas tembak itu turut menyebabkan seorang lagi anggota kumpulan terbabit cedera. Dia bagaimanapun berjaya meloloskan diri daripada tangkapan polis.
 
Kumpulan empat lelaki itu dikesan selepas mereka melarikan barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta dari sebuah kedai emas berhampiran pasar raya Mydin Meru Raya, kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian tembak, pada pukul 10.20 pagi.

 
Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata hasil maklumat awam, satu daripada Team Cantas Khas berjaya mengesan sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna biru dalam keadaan mencurigakan di Bulatan Meru Raya.

 
"Polis mengejar kenderaan itu namun kereta itu memecut laju dan terbabas di bahu jalan. Seorang daripada suspek melepaskan tembakan ke arah polis dan polis terpaksa membalas tembakan untuk mempertahankan diri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata siasatan awal mendapati kereta yang digunakan kumpulan itu adalah kereta yang dilapor hilang di Bayan Baru, Pulau Pinang pada 3 Oktober lepas.
 
Beliau berkata polis menemui dua pucuk pistol iaitu jenis Star buatan Sepanyol dan Smith and Wesson, sebilah parang, dua telefon bimbit dan barang kemas yang dilarikan dalam kereta itu.
 
"Tiada pengenalan diri ditemui pada kesemua suspek," katanya.
 
Polis kini melancarkan gerakan memburu lelaki yang cedera itu, katanya sambil meminta orang ramai dan pegawai perubatan yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
 
"Kami percaya suspek yang melarikan diri di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran tempat kejadian akan ditemui kerana polis telah mengepung kawasan itu," katanya. - SinarHarian-

Tiada ulasan: