Jumaat, 15 November 2013

Hudud: Kelantan perlu tetap masa

KOTA BHARU- Kerajaan Kelantan perlu menetapkan masa untuk melaksanakan hukum hudud di negeri ini selain memberi kefahaman kepada masyarakat secara menyeluruh.

Bagi tujuan itu, pensyarah dan pendakwah, Dr Abdul Basit Abdul Rahman berkata, kerajaan Kelantan perlu menjadikan negara Brunei sebagai contoh dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan hudud.

“Brunei menetapkan tarikh enam bulan lagi untuk menjalankan hukum hudud di negara itu dan Kelantan perlu berbuat demikian dengan menyatakan bilakah tarikh hudud akan dilaksanakan.



“Kerajaan negeri juga dicadangkan menyatakan kepada masyarakat mengenai langkah  ke arah pelaksanaan hudud dengan memberi kefahaman serta penjelasan kepada mereka di seluruh negeri ini,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Daud Muhammad yang menyatakan kesediaan Kelantan melaksanakan penguatkuasaan hukum hudud selepas bangunan Kompleks Mahkamah Syariah di Tunjung kini siap dan beroperasi.

Seperti Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993, Kanun Hukuman Jenayah Syariah Brunei 2013 hanya tertakluk kepada rakyat Brunei beragama Islam. Hukuman jenayah sivil juga dilaksanakan secara bersama di negara tersebut.

Malah, pengharaman menjual dan meminum minuman keras secara terbuka telah lama dilaksanakan di negara itu. Peraturan ketat juga dikuatkuasakan kepada penganut agama lain.

Abdul Basit berkata, kefahaman mengenai hudud perlu dijalankan di peringkat negeri supaya ia lebih menyeluruh kerana persepsi masyarakat terhadap hukum hudud masih menakutkan kepada orang bukan Islam dan segelintir orang Islam ada juga yang menentangnya.

“Kerajaan negeri perlu melakukan langkah yang sewajarnya melalui penerangan untuk memberi kefahaman kepada seluruh masyarakat di Kelantan.

“Kursus kefahaman berkaitan hudud juga perlu diberikan kepada orang bukan Islam dan ia tidak hanya bertumpu di Balai Islam, Lundang sahaja, sebaliknya perlu menyeluruh iaitu diadakan di daerah-daerah lain di negeri ini,” katanya.

Katanya, sebelum ini, kerajaan negeri ada menyatakan langkah memberi kefahaman secara menyeluruh, namun sehingga kini perkara tersebut masih belum terlaksana.

Sementara itu Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, terserah kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan hudud di negeri ini atau sebaliknya.

“Saya menyokong pandangan Ketua Hakim Syarie dan kini terserah kepada kerajaan negeri. Saya menasihatkan supaya masyarakat sedia membuat penghijrahan perasaan dan minda.

“Rakyat harus bersedia untuk menerima pelaksanaan hukum hudud kerana enakmen hudud ini diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri yang mewakili rakyat,” katanya.

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Nassuruddin Daud pula berkata, penjelasan yang dibuat oleh Mohamad Daud sudah cukup dan sebarang kenyataan tidak dikeluarkan setakat ini.

“Saya rasa apa yang beliau jelaskan sudah cukup, nantilah selepas ini,” katanya ringkas. -SinarHarian-

Tiada ulasan: