Jumaat, 4 Oktober 2013

Kecoh tiket habis

PIHAK pengurusan syarikat peralatan sukan cuba menenangkan peminat bola sepak.
Kuching: Kekecohan tercetus di depan sebuah kedai peralatan sukan di Wisma Hopoh, di sini, semalam apabila lebih 1,000 penyokong skuad bola sepak Sarawak gagal membeli tiket perlawanan separuh akhir kedua menentang Sime Darby di Stadium Negeri, esok.

Difahamkan, seorang wanita pitam di tengah-tengah orang ramai yang berebut-rebut untuk membeli tiket yang dijual di ruang parkir bangunan berkenaan.

Penyokong setia Ngap Sayot mula beratur di depan kedai peralatan sukan yang diberikan hak menjual tiket itu sejak jam 7 pagi lagi bagi membeli tiket yang hanya dijual pada jam 12 tengah hari.

Bagaimanapun, selepas hampir lima jam menunggu, keadaan mula kecoh apabila pengurusan kedai sukan itu memaklumkan tiket habis dijual dan peminat hanya boleh mendapatkannya di Stadium Negeri selepas solat Jumaat, hari ini.

Berikutan itu, keadaan menjadi tegang apabila penyokong tidak puas hati dan mereka menuntut tiket dijual seperti dijanjikan.

Keadaan itu menyebabkan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) terpaksa menghantar 2,000 tiket ke premis terbabit, tetapi penjualan dihadkan hanya dua tiket setiap seorang.

Seorang penyokong Ngap Sayot, Anis Abas, 68, dari Lundu berkata dia bertolak ke Kuching bersama beberapa rakan untuk membeli tiket pada jam 6 pagi.


Katanya, dia terlebih dulu pergi ke Tol Zecon di Jambatan Tun Abang Salahuddin untuk membeli tiket, tetapi dimaklumkan sudah habis dijual sebelum ke Wisma Hopoh.

“Saya ada mendengar mengenai penjualan tiket di sini menerusi radio dan datang awal bagi mendapatkannya. Sudah hampir tiga jam menunggu, mereka memaklumkan tiket sudah habis dijual dan meminta penyokong membelinya di Stadium Negeri.

“Jadi penyokong di sini tak berpuas hati. Saya datang dari jauh kerana tidak mahu terlepas menyaksikan perlawanan itu tapi mereka gagal menyediakan tiket sebagaimana dijanjikan,” katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun, Anis akhirnya lega kerana selepas hampir enam jam menunggu dan bersesak dengan penyokong lain, dia berjaya mendapatkan dua tiket.

Tiada ulasan: