Isnin, 13 Januari 2014

Boikot peniaga ambil kesempatan


SHAH ALAM – Pengguna ada hak untuk memboikot peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang terlalu tinggi melebihi kadar sepatutnya.

Ketua Penyelidikan dan Perundingan Kluster Ekonomi dan Kewangan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Shazali Abu Mansor berkata, ia boleh dilakukan kerana pengguna adalah raja dalam menentukan harga barangan.

Menurutnya, sekiranya peniaga menaikkan harga melebihi 30 hingga 40 peratus, ia sememangnya satu tindakan melampau dan membebankan pengguna.



“Namun untuk memboikot barang itu sendiri tidak boleh dilakukan disebabkan ia satu keperluan.

“Oleh itu, apabila pembeli mendapati peniaga menaikkan harga terlalu mahal, mereka boleh untuk tidak berurusan di situ,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cara terbaik pengguna memboikot barang yang dijual secara mahal lebih dari harga biasa.

Shazali berkata, pengguna juga boleh membuat perbandingan harga di beberapa tempat ketika membeli barang keperluan.

“Jika pembeli dapati, harga sesuatu barangan terlalu mahal dari tempat lain, mereka boleh buat pilihan untuk tidak membeli di kedai tersebut. Ia untuk menekan kedai tersebut untuk turunkan harga.

“Selain itu, pengguna boleh terus adukan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan juga perlu mewujudkan lebih banyak Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) atau mengiktiraf kedai yang menawarkan harga berpatutan kepada umum.

“Bukan sahaja untuk barangan keperluan, tetapi dalam hal lain juga kerajaan perlu ambil peduli agar harga tidak mudah diubah.

“Apabila ini dilakukan, pastinya akan menjadi persaingan kepada peniaga lain untuk tidak menaikkan harga barang sesuka hati seterusnya tidak terus membebankan pengguna,” katanya. -Sinar Harian-

Tiada ulasan: