Jumaat, 20 September 2013

'Derhaka Seorang Madu' daripada kisah realiti

MENYUSUL selepas ‘Hujan’, sebuah lagi drama hebat, ‘Derhaka Seorang Madu’ hasil garapan sutradara Azhari Zain, kini menghiasi slot Azalea. Mula ditayangkan pada 19 Ogos lalu, drama 20 episod ini dibintangi Lisdawati, Faradhiya, Lufya, Aman Nassim, Farisha Crosly dan Norlia Ghani. Mengangkat kisah kehidupan bermadu, drama ini berkisar mengenai pasangan suami isteri, Kamal dan Hawa, yang hidup bahagia bersama dua anak mereka, Muaz dan Malissa.

 Namun konflik rumah tangga mereka bermula apabila Hawa membenarkan sahabatnya, Rozita dan anak perempuannya, Icha tinggal bersama di rumah mereka. Dalam diam, Kamal ingin mengahwini Rozita dan sanggup menipu isterinya sendiri. Bukan hanya memaparkan kisah kehidupan bermadu semata-mata, pengarahnya, Azhari berkata, drama ini sarat dengan mesej serta pengajaran buat kaum wanita. "Apa yang ingin saya sampaikan dalam drama ini dapat dijadikan sebagai panduan kepada wanita di luar sana. "Mereka seharusnya bersikap lebih tegas jika menghadapi situasi seperti ini.


"Jangan jadi mangsa, sebaliknya harus cari kaedah yang sesuai daripada terus tertindas," katanya. Kerap ubah skrip Bercerita mengenai cabarannya mengarahkan drama ini, Azhari berkata, dia terpaksa beberapa kali mengubah skrip supaya ia menjadi lebih realistik di mata penonton. Malah dia juga amat teliti dengan setiap dialog mahupun babak yang bagi mengelak sensitiviti masyarakat. "Banyak perkara yang perlu kita pertimbangkan supaya ia sesuai dipertontonkan. "Bukan senang untuk kita menghasilkan drama sebegini lebih-lebih lagi ia berdasarkan kisah benar yang berlaku dalam masyakat kita. "Jika tersilap langkah, ia boleh menimbulkan kemarahan penonton," katanya.

 Daripada segi pemilihan pelakon, Azhari berkata, pihak produksi telah memilih pelakon yang dirasakan benar-benar layak untuk mendukung setiap watak. Malah dia sangat kagum dengan kerjasama yang diberikan kesemua pelakon. "Lisdawati sangat terkenal dengan watak-watak berair mata serta beremosi, maka dia sangat sesuai membawa watak Hawa. Sementara Faradhiya pula, sangat terkenal dengan watak antagonis dan penggoda. "Azhan juga tak kurang hebatnya. Dia berjaya membawa wataknya dengan baik. Walaupun jadi suami yang pemarah, namun dia berjaya menonjolkan sisi bapa penyayang," katanya. - Sinar harian

Tiada ulasan: