Jumaat, 20 September 2013

Lagi ahli Geng 08 ditahan

TEMERLOH – Polis menahan tiga lelaki ketika mereka dipercayai dalam perjalanan menghantar bekalan dadah ke Temerloh dengan salah seorang suspek dikenal pasti sebagai ahli geng 08 dalam serbuan berhampiran sebuah stesen minyak Petronas di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 46 tahun dipercayai membawa bekalan dadah bernilai RM15,000 dari Kuala Lumpur untuk pasaran Temerloh.

 Menurutnya, polis cawangan narkotik yang mengintip aktiviti geng ini sejak dua minggu lalu berjaya mengesan suspek kira-kira jam 8.10 malam berhampiran stesen minyak terbabit menaiki sebuah kenderaan Nissan Grand Livina lalu mengarahkan mereka berhenti. “Kenderaan dipandu suspek cuba melepaskan diri hingga menyebabkan polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah tayar kenderaan terbabit. “Hasil pemeriksaan, polis menemui 219.16 gram heroin di bawah karpet belakang kenderaan tersebut,” katanya pada sidang media semalam.


Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga suspek, polis mengenal pasti salah seorang dari mereka berusia 36 tahun adalah ahli kongsi gelap geng 08 berdasarkan tatu naga dan lipan pada tubuh badannya. Menurutnya, kejayaan menahan tiga lelaki itu hasil Ops Cantas dan Ops Tapis yang dilancarkan polis. Beliau berkata, kesemua suspek kini direman hingga 23 September ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah berbahaya 1952. Katanya, sehingga kini polis Temerloh menahan dua lelaki yang dikenal pasti ahli geng 08 dan geng 36 sepanjang Ops Cantas dilaksanakan. - Sinar Harian

Tiada ulasan: